Thursday, 23 June 2011

HANNA

BAB 1
 
   Awan kelabu berarak perlahan.Angin pula bertiup kuat menandakan hujan akan turun tidak lama lagi.Dua orang gadis kecil berlari-lari mendapatkan tempat berteduh bila titis-titis hujan mula membasahi bumi.
   Si kakak mengeluarkan sapu tangan daripada beg sandangnya.Mengelap bahagian tubuhnya yang terasa basah.Setelah selesai dia berpaling ke arah adiknya pula,adiknya itu begitu khusyuk mengunyah coklat yang dibeli dari kantin sekolah.Langsung tidak dihiraukan  keadaan sekelilingnya.
  Hujan  turun dengan lebat sehingga menyebabkan pondok menunggu bas yang usang itu  mulai basah.Si kakak menarik adiknya supaya rapat dengannya.Dalam hati kerisauan mula beraja memikirkan yang ibunya pasti risau mengenai mereka berdua.Dia mengerling jam tangannnya,sudah lewat.Ayahnya tentu sahaja tidak dapat mengambil mereka sekarang,dengan keadaan hujan lebat begini tentu sahaja ayah sukar bergerak ke mana-mana dengan motorsikal lama itu.
    Hanna mengeluh perlahan.Tiada apa yang dapat dia lakukan.Menunggu dan terus menunggu supaya hujan segera berhenti.Dia memandang wajah polos adiknya,menggigil-gigil menahan sejuk.Hanna hanya tersenyum sambil tangannya pantas menarik tubuh kecil itu rapat ke tubuhnya,biar mereka berkongsi kehangatan.
   “Along,bila nak balik ni?Ibu mesti risau kita balik lambat,”ujar Farhanah setelah hujan yang tadinya lebat mulai teduh.
   “Sabarlah,dik.Sekarang masih hujan lagi...nanti bila hujan dah betul-betul berhenti kita balik,ya,”Hanna berkata sambil mengelap sisa coklat yang melekat di bibir Farhanah.Sekejap-sekejap dia melihat awan yang semakin cerah.Cahaya mentari mula menunjukkan sinarnya.Hanna menghembuskan nafas lega.
   “Along,kita balik ya,adik tak sabar nak jumpa ibu.Tadi cikgu ada bagi surat  kebenaran untuk ibu tandatangan.Adik dapat masuk pertandingan bercerita peringkat daerah,”Farhanah memujuk lagi.Berharap  Hanna akan segera membawanya pulang ke rumah.Pesan guru darjahnya itu harus segera disampaikan.
   Hanna mengangguk perlahan.Tanda bersetuju dengan kata-kata adiknya itu.Dia juga sememangnya ingin segera pulang.Tidak sabar rasanya ingi memberitahu ibu dan ayahnya tentang keputusan peperiksaan pertengahan tahunnya yang cemerlang.Dia mendapat tempat pertama lagi,pasti senyuman gembira akan menghiasi wajah mereka.
   “Adik,jom balik.Hujan pun dah berhenti,tak payahlah tunggu ayah ambil kita,jom...”Hanna menghulurkan tangannya.Farhanah yang sedang duduk malas segera menyambut huluran tangan kakaknya itu.Keduanya tersenyum gembira,masing-masing punya berita baik untuk disampaikan.
   Namun dalam tersenyum gembira masih terselit sedikit kerisauan di hati Hanna.Ibunya agak lain ketika dia ingin melangkah ke sekolah pagi tadi.Wajah manis ibunya tetap ceria namun kelihatan tidak bermaya.Bibirnya kering dan wajahnya pucat.Bicaranya pun kedengaran aneh dan sedikit menakutkan jiwanya.
   “Hanna,sayang.Belajar elok-elok,kalau boleh ibu nak Hanna belajar sampai ke peringkat paling tinggi.Ibu dan ayah tak mampu nak beri kemewahan pada Hanna dan adik.Jadi anggaplah ilmu tu harta  yang paling bernilai buat Hanna.”Tubuh kecil Hanna dipeluk erat oleh Fatehah,seakan tidak mahu dilepaskan batang tubuh anak sulungnya itu.Dia tidak tahu kenapa hatinya sebak sepanjang pagi ini.Dia terasa seakan ada sesuatu yang bakal menimpanya.Tubuhnya terasa lesu dan sudah tiga kali dia jatuh pengsan tanpa sedar.Menyediakan sarapan pun dia tidak mampu,kasihan anak-anaknya.Mujur dia punya suami sebaik Rahman,Rahmanlah yang menyediakan segala keperluan Hanna dan Farhanah ke sekolah.
   Hanna terdiam mendengar kata-kata ibunya.Sungguh aneh sekali pesanan Fatehah buatnya pagi ini.Selalunya ibu hanya mengucup kedua belah pipinya selepas dia dia menghulurkan tangan untuk bersalam.Hati kecilnya turut merasakan sesuatu namun cepat-cepat perasaan itu ditangkis.
   “Ibu,ibu menangis?Kenapa ni ibu tak sihat ke?”Tanyanya bila bahunya terasa basah.Segera disentuh wajah ibunya.Dia mengesat mutiara jernih yang mengalir dipipi itu.
    Tiada jawapan diberi.Fatehah hanya menggeleng lemah sambil tersenyum hambar.Cuba menenangkan rasa tidak keruan Hanna.Sekali lagi tubuh Hanna diraih.Fatehah menagis lagi,dia cukup bersyukur dikurniakan anak sebaik Hanna dan Farhanah.Mereka anak yang baik yang tidak pernah menyusahkan dirinya dan suaminya.Mereka tidak pernah membantah kata-katanya.Dia bersyukur dan seandainya nyawanya ditarik ketika ini,tiada kekesalan yang membelenggu dirinya.
   “Ibu,ibu jangan sedih-sedih,ya.Hanna nak pergi sekolah ni, hati Hanna tak sedap tengok ibu macam ni.Ibu sakit ya,kalau macam tu biar Hanna cuti hari ni.Hanna boleh jaga ibu,nanti kalau ibu perlukan apa-apa Hanna boleh bantu,”kata Hanna sambil meleraikan pelukan.Dia duduk di birai katil bersebelahan ibunya.Sekali lagi wajah manis ibunya ditatap.Dia tidak sampai hati membiarkan Fatehah keseorangan di rumah.Tubuh kurus itu terasa hangat,ibunya demam barangkali.
   Fatehah menggeleng.Memang dia tidak bermaya namun kudratnya masih ada.Tidak perlulah sehingga Hanna terpaksa ponteng deminya.Dia tidak mahu pelajaran Hanna terganggu.
   “Eh,mana boleh macam tu,Hanna kena sekolah.Ibu sihat,jangan risau.Kejap lagi ibu makan ubat,nanti tengah hari baiklah.Hanna pergi sekolah,belajar macam biasa dan tumpukan perhatian betul-betul,ya.”
   “Tapi Hanna risaukan ibu,ibu demamkan?Biarlah Hanna jaga ibu.”
   “Hanna sayangkan ibu tak?Kalau sayang pergi sekolah ya,belajar pandai-pandai.Dengar cakap ibu,Hanna budak baikkan?”Fatehah bersuara lemah.Wajah kecil dihadapannya diusap perlahan,menunjukkan betapa kasihnya dia terhadap anak itu.
   Akhirnya Hanna mengalah.Dia bangkit dan pantas tangan ibunya dicapai.Dahi ibunya dikucup sayang.Lama hingga menyebabkan Fatehah hampir teresak kembali.Namun esakan itu segera ditahan agar  tidak ketahuan.
   “Hanna pergi dulu ibu,sayang ibu.Ibu jangan nakal kat rumah tau,nanti Hanna balik Hanna buat spot check,Hanna nak tanya Mak Yam apa ibu buat sepanjang hari,”Hanna seakan mengugut.Kata-katanya itu menyebabkan Fatehah tergelak.Kedengaran lucu bila si anak berkata begitu kepada ibunya.
   Fatehah mengangguk sambil tersenyum manis mengiringi pemergian  anaknya ke sekolah.Semoga Hanna dan Farhanah menjadi orang yang berguna pada agama dan bangsa suatu hari nanti.Itulah doanya.
    “Along,Pak Mail panggil,”Farhanah menarik lengan baju Hanna.Hanna masih selamba,hanya mendiamkan diri.Panggilan adiknya tidak dihiraukan.Dia seolah-olah dalam dunianya sendiri.
   “Along!Along orang cakap dengan dia boleh dia buat tak tau aje,along...Pak Mail panggillah.” Farhanah sedikit menjerit.Geram bila kata-katanya tidak dipedulikan.Entah kenapa agaknya Hanna seperti berangan.Semenjak tadi dia perasan Hanna seperti itu.
   “Hanna!”Pak Mail berteriak setelah dua beradik itu kian mendekatinya.Dia yang berada di seberang jalan pantas menunggang motosikalnya menghampiri Hanna dan adiknya.
   Hanna mendongak.Mencari gerangan yang memanggil namanya.Bila dilihat Pak Mail disebelahnya,pantas bibirnya mengukir senyum.
   “Pak Mail,ada apa?Pak Mail dari kenduri ke?”Hanna segera bertanya bila melihat Pak Mail yang lengkap berbaju melayu dan bersongkok.Sudah menjadi tradisi di kampungnya kenduri diadakan pada waktu siang,tidak seperti tempat-tempat lain yang kebiasaannya mengadakan kenduri pada waktu malam.Jadi tiada apa yang perlu dihairankan bila orang berpakaian seperti itu di siang hari.
   Pak Mail terdiam seketika.Soalan Hanna tidak dijawab,hanya matanya yang terkebil-kebil memandang dua beradik itu.
   “Ni sebenarnya,ayah kamu minta tolong Pak Mail jemput kamu berdua,marilah naik.Cepat,ayah kamu dah tunggu lama tu,”ujar Pak Mail.Tingkahnya nampak tergesa-gesa bagaikan sedang mengejar sesuatu.Hanna dan Farhanah saling berpandangan.Tanpa banyak soal mereka berdua terus menenggek di atas motorsikal itu.
    Sampai sahaja di perkarangan rumahnya,Hanna jadi pelik.Perkarangan rumahnya dipenuhi orang.Sepanjang sepuluh minit perjalanan ke rumahnya Pak Mail hanya diam,langsung tidak bersuara.Tidak seperti selalu,hanya mulutnya yang menceceh.Bercerita itu dan ini sehingga dia naik bosan setiap kali ayahnya meminta orang tua itu yang menjemputnya pulang dari sekolah.Apa tidaknya terpaksa menjadi pendengar setia,siapa yang rela...
    Hanna sudah tidak peduli keadaan sekelingnya.Pantas sahaja kaki dihayun menaiki tangga kayu rumahnya itu.Hatinya tidak keruan,perasaan yang hadir mengenai ibunya sebelum dia ke sekolah bertandang lagi.Ya Allah...
   Langkahnya terhenti di muka pintu.Semerbak hidungnya terhidu bauan yang lazimnya ada ketika dia mengikut ayahnya menguruskan jenazah.Telinganya dihidangkan dengan bacaan surah Yassin yang begitu mendayu sehingga mengundang sebak di hatinya.Tak mungkin...hatinya berdetik.
   Dia memandang ke arah satu sudut.Ayahnya kelihatan tenang dan mulutnya teruterkumat-kamit membaca ayat-ayat suci itu.Hanna memandang pula wajah-wajah yang lain,ada riak suram yang terpamer pada wajah mereka semua.Perlahan Hanna menuju ke  arah sekujur tubuh yang berbalut kain putih di hadapannya.
   Kain yang menutupi wajah itu dibuka.Ibu...hatinya berbisik perlahan.Wajah ibunya kelihatan tenang dan seakan-akan tersenyum memandang ke arahnya.Hanna memejamkan mata,terimbau kembali senyuman ibunya pagi tadi.Sungguh dia tidak menyangka itulah senyuman terakhir daripada ibunya.
    “Ibu...”suaranya bergema.Perlahan sekali.Dadanya terasa bergetar dan matanya secara tidak langsung mengalirkan air hangat.Ibu,kenapa tinggalkan Hanna?Kenapa ibu tak tunggu Hanna balik dulu?Hanna pergi sekejap aje,bu...Hanna dah janji Hanna akan balik cepat.Kenapa ibu tak biarkan Hanna jaga ibu,tunggu ibu di rumah?Kenapa,bu?Batinnya menjerit kuat.Bahunya terhenjut-henjut menahan esakan yang bakal lepas.Sungguh...sungguh dia tidak mampu menghadapi kenyataan ini.
    Ibu,ibu tahu Hanna ada banyak perkara nak kongsi bersama ibu hari ni,Hanna dapat nombor satu lagi,bu.Cikgu ada bagi Hanna hadiah sebab prestasi Hanna tak pernah menurun.Hanna baru ingat nak tunjukkan ibu hadiah tu tapi...ibu,satu perkara lagi... Hanna dalam kelompok pelajar cemerlang tahun enam,jadi cikgu dah siapkan borang untuk ke sekolah yang bagus...ibu suka,kan?Hanna ada banyak lagi cerita nak beritahu ibu...
   Hanna menangis lagi.Air matanya kian lebat membasahi pipi.Tangisannya semakin kuat bila jenazah ibunya sudah diangkat untuk dikebumikan.Rahman segera mendapatkan Hanna dan Farhanah.Tubuh kecil mereka dipeluk erat,dia faham keperitan yang dialami anak-anaknya.Dia juga menanggung sengsara yang sama.Dia tidak menduga sama sekali akan kehilangan wanita yang dicintai seumur hidupnya sekelip mata.Namun takdir Allah,siapalah dia untuk menidakkan kuasaNya.
   “Sayang,jangan menagis macam ni.Tak elok...ibu pun mesti tak suka tengok along dan adik macam ni.Along belajar agama,kan?Apa ustazah ajar bila ada kematian,lebih-lebih lagi bila orang yang kita sayang dan dekat dengan kita pergi?”Rahman cuba memujuk keduanya.Tangisan Hanna dan Farhanah sedikit reda,perlahan Hanna menyeka air matanya.Memandang tepat wajah tenang Rahman.
   “Kita kena doakan mereka dan jangan sesekali meratapi kerana itu akan menyeksa mereka,faham tak?”Rahman menyambung lagi,suaranya begitu lembut menasihati anak-anaknya.Dia perlu kuat di hadapan mereka,dialah sumber kekuatan Hannah dan Farhanah ketika ini.Jika diikutkan rasa pasti dia sudah gila,bagaimanalah dia mahu mengharungi hari-harinya tanpa Fatehah.sudah 20 tahun dia berkongsi suka dan duka bersama wanita itu.Fatehah merupakan sebahagian daripada dirinya,tanpa Fatehah dia lumpuh.
   Hanna hanya memerhati dari jauh orang ramai mengiringi jenazah arwah Fatehah.Dia hanya  tersandar di pintu rumahnya.Untuk berdiri pun dia tidak kuat,tubuhnya begitu lemah.Dia juga tidak mampu melihat jasad  ibunya ditimbus tanah.Dia tidak mampu.
  “Ibu!”Hanna menyeru perlahan panggilan itu.Sekali lagi empangan matanya pecah...

                               #               #                #                                                                                                       
   Hanna tersentak.Serta-merta dia terjaga dari tidurnya.Dia meraup wajahnya.Basah!Ada air mata yang mengalir,pantas diseka.Hanna termenung jauh.Sudah lima tahun episod duka itu berlalu namun dia merasakan seperti baru semalam ibunya pergi meninggalkannya.Mimpi itu kerap mendatanginya.Hampir saban malam dia dihantui kenangan pahit itu hingga kadang kala tidurnya terganggu.Hanya Tuhan yang tahu betapa peritnya kehilangan seorang ibu.
    Hanna mencapai jam loceng di sebelahnya,4.30 pagi.Perlahan dia bangun dari katil dan menuju ke tandas yang terletak bersebelahan dengan dormnya.Pili air dibuka dan wajahnya dibasuh,satu-persatu rukun berwudhu’ dilakukan.Dia ingin menunaikan solat sunat,berdoa supaya roh ibunya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman.             
   Usai menunaikan solat tahajud dua rakaat,Hanna duduk berteleku  di atas tikar sembahyang.Bagaikan terbayang-bayang wajah tenang ibunya yang sedang tersenyum manis ke arahnya.Senyuman itu begitu menenangkan jiwanya yang tandus dengan kasih sayang.
   “Ibu,”serunya perlahan.Saat itu  matanya sudah mula berkaca-kaca.Betapa dia rindu untuk menyebut panggilan itu.
   “Hanna rindu sangat pada ibu.Hanna rindu,bu...”rintihnya perlahan.Air matanya sudah mengalir deras.Segala kenangan manis bersama arwah Fatehah terlayar di mindanya.Pelukan dan kucupan hangat ibunya masih terasa,itulah penguat semangatnya tatkala dia hampir berputus asa dalam segala macam perkara.
  ‘Maafkan Hanna,bu.Hanna tak jadik anak yang baik.Hanna janji yang Hanna takkan menangis lagi,tapi Hanna tak penuhi janji tu,maafkan Hanna...Hanna cuma rindukan ibu.’Hatinya berdesis lagi.Hanna membaringkan tubuhnya di atas sejadah.Telekungnya juga belum dibuka.Matanya dipejam,cuba menenangkan rasa sebak yang hadir setiap wajah ibunya datang menyapa.Dunianya semakin gelap dan dia terus terlelap bila rasa mengantuknya masih bersisa.
   “Hanna!Oh Hanna oi!kau nak bunuh aku ke?Boleh pulak kau landing kat tengah-tengah bilik dengan bertelekung macam ni,”Riana bersuara kuat hingga menyebabkan Hanna tersedar dari lena.Terpisat-pisat dia memandang wajah temannya itu.
  “Kenapa?Kau ni pagi-pagi dah membebel macam nenek kebayan,”kata Hanna sambil membuka telekung yang dipakainya.
   “Apa?Kau tanya kenapa?Hei,kau ni nasib baik kau kawan aku,kalau tak dah aku wrestling kau tau.Tidur kat tengah alam dengan pakai macam tu,aku terkejut tau tak.Aku ingat poc...”Riana sengaja tidak menghabiskan ayatnya.Biar Hanna faham sendiri.
   Bukan main terkejut dia pagi ini.Dalam samar cahaya dia terlihat sesuatu berwarna putih bergerak.Hatinya melantun cemas.Ya Tuhan,benarkah apa yang sedang disaksikannya.Benarkah cerita-cerita seram yang sering didengari dari mulut teman-temannya  selama ini?Riana segera beristighfar.Macam-macam ayat  yang keluar dari mulutnya untuk menghilangkan rasa takut.
    Dia bangun perlahan mencari suis lampu.Matanya tidak lepas memerhati,benda berwarna putih itu masih di situ,tidak  berganjak walau sedikit pun.Terketar-ketar jarinya memetik suis.Dan apabila cahaya menerangi seluruh bilik itu spontan mulutnya terjerit.
   “Hanna!!!!”Rupanya Hannalah ‘hantu’ itu.Buat gugur jantungnya sahaja.Segera dihampiri tubuh Hanna yang kaku.Bukan main nyenyak lagi sahabatnya tidur.Huh!Hanna...Hanna...

No comments:

Post a Comment