Wednesday, 6 July 2011

Bab 4
   Hanna berlari laju.Habis semua orang dirempuhnya.Dia tidak peduli,yang penting dia harus segera sampai ke bilik guru.Baru sebentar tadi Yana memberitahunya Cikgu Fadilah ingin berjumpa dengannya.Pasti tentang perlantikan pengawas baru.Aduh!memang tak senang duduk dia dibuatnya.Apa tidaknya baru hendak menyua makanan ke mulut,namanya sudah diseru-seru.Riana yang berada disebelahnya ketika itu hanya mampu terkebil-kebil memandangnya.Nasiblah kau Hanna...
   Buk!Hanna jatuh terduduk.Di hadapannya habis berterabur barang-barang kepunyaan seseorang yang dilanggarnya.Hanna segera mendongak.
   “Minta maaf...Encik tak apa-apa?”Hanna bangun segera.Barang-barang milik lelaki itu cepat-cepat dikutip.Rasa bersalah mula menerpa.
   Lelaki awal 50-an itu tersenyum memandangnya sambil menggelengkan kepalanya.Tanda dia tidak ambil hati atas kejadian itu.Fail yang dihulur Hanna segera disambut.Sekaligus melegakan perasaan bersalah Hanna.
   “Tak  apa,nak.Boleh pak cik tumpang tanya?”Soal lelaki itu.Di belakangnya Hanna dapat melihat seseorang dengan wajah yang masam mencuka.Hanna pantas mengalihkan pandangannya,menyampah pula dia melihat wajah yang diandai sombong itu.Langsung tiada segarit senyuman.Muka macam tapai basi pun ada, desis hati kecilnya.
   Pandangannya dihalakan pada lelaki di hadapannya.Wajah lelaki yang hampir sebaya dengan ayahnya  nampak baik dan lembut.Hanna  menghulur senyum lantas mengangguk.
   “Pak cik nak tanya,pejabat pengetua  kat mana,ya?Pak cik ada urusan dengan Encik Lutfi,”tanya lelaki itu sopan.
  “Oh,pejabat pengetua...Pak cik naik bangunan ni,lepas tu belok kanan.Hmm...tak pun susah-susah biar saya tunjukkan pada Pak cik...tapi boleh saya tahu nama Pak cik?”Hanna mempelawa.Kasihan pula dia melihat orang tua itu.Pasti terkial-kial mencari bilik Encik Lutfi nanti.Bilik pengetua memang  sedikit tersorok dari pandangan.
   “Minta maaf,pak cik lupa nak perkenalkan diri.Nama pak cik Amin,”Pak Amin lantas memperkenalkan dirinya.Serba salah pula dia dibuatnya.Dia menoleh sekilas belakangnya.Wajah anak muda itu masih keruh seperti tadi.Semenjak mula perjalanan hinggalah mereka tiba di sekolah yang tersergam indah ini,tiada sepatah perkataan yang keluar dari mulutnya.Naik bingung Pak Amin memikir.
   Dia menghantar anak itu pun atas arahan majikannya,Dato’ Amsyar.Dalam hati Pak Amin sedih juga kerana anak itu tidak dihantar sendiri oleh bapanya.Alasan Dato’Amsyar tadi dia tidak sempat menghantar sendiri anaknya  kerana mengejar masa untuk terbang ke Hong Kong pagi ini.Pak Amin hanya mampu menurut kata.
   Tugasnya hanya perlu menghantar Fadzriq Damian ke sekolah ini dan selebihnya akan diuruskan oleh Encik Lutfi yang sememangnya punya hubungan keluarga dengan Dato’Amsyar.Risau juga Pak Amin melihat Fadzriq,diam memanjang.Namun jauh di sudut hati dia tahu Fadzriq tidak sukakan keputusan ayahnya yang memaksa dia untuk tukar sekolah.Lebih-lebih lagi sekolah ini di pedalaman dan jauh pula dari segala kemudahan.
   “Err...Pak Amin,marilah saya tunjukkan Pak Amin bilik pengetua tu,”Kata-kata Hanna membuatkan Pak Amin tersentak.Jauh sungguh dia mengelamun.Tanpa membuang masa dia menarik beg roda di sisinya dan mengikuti langkah Hanna.
   Hanna bergegas ke kelas bila loceng sudah berbunyi.Hal Pak Amin sudah beres.Waktu rehat telah habis dan perjumpaan bersama Cikgu Fadilah juga telah selesai.Pening kepala dia dibuatnya.Apa tidaknya dia perlu menyiapkan minit mesyuarat untuk perjumpaan pengawas secepat yang mungkin.Dua hari lagi jawatankuasa tertinggi beserta guru-guru penasihat akan berkumpul.Macam-macam perkara yang bakal dirombak dan salah satunya ialah mengenai pelantikan pengawas baru dari Tingkatan 4,mereka perlu ditemu duga bagi menentukan yang mereka benar-benar layak untuk memegang jawatan itu.
   Sampai sahaja di kelas,guru Matematik Modennya sudah sedia menunggu.Hanna pantas sahaja menuju ke tempat duduknya.Riana dari awal lagi dia memasuki kelas 5 Thomas itu sudah tersengih memanjang memandangnya.Ada bendalah tu...Rianakan reporter tak bergaji sekolah,pasti ada cerita di sebalik sengih bak kerang busuk Riana.Dia sudah arif sangat.
   “Okey,kelas...bagi tumpuan sekarang.Kelas kita terima pelajar baru...saya nak kamu semua please welcome him,ok?”Suara Cikgu Zafrul merangkap guru kelasnya bergema kuat.Seluruh kelas yang tadinya sedikit bising kembali senyap,menumpukan sepenuh perhatian pada kehadiran murid baru itu.
   Student baru?Hanna terasa pelik.Macam mana boleh ada student baru ni, form five pulak tu?Setahunya hanya tingkatan 1 dan 4 sahaja yang ada pengambilan pelajar baru.Sejak bila pula Encik Lutfi tukar sistem ni?Sudah terang-terang Sekolah Berasrama Penuh ada sistem pengambilan pelajar.Hish,pelik...pelik...Hanna melayan kata hatinya sendiri.
   Hanna terkejut ketika Riana menyinggul lengannya.Dia berpaling dan wajah teman di sebelah dipandang hairan.
   “Kenapa?”Soalnya perlahan.Khuatir Cikgu Zafrul terdengar,sudahlah memang pantang guru itu jika ada pelajar yang berbual semasa dia mengajar.Nanti tak pasal kena menyanyi lagu sekolah tengah dataran perhimpunan...
   Riana tidak menjawab sebaliknya matanya tepat memandang pelajar baru yang sedang melangkah keluar ke depan kelas.Tidak berkelip mata sahabatnya itu.Sawan ke  apa minah sorang ni.Hanna turut menghalakan pandangannya ke arah yang sama.Pantas dia menekup mulut.Ya Allah,kenapa mesti dia?
   “Assalamulaikum,nama saya Fadzriq Damian Dato’Amsyar,asal KL,”pelajar itu memperkenalkan diri.Gayanya penuh lagak hingga menyebabkan Hanna berasa teramat jengkel melihatnya.Meluat...kerek nak mati,perlu ke mention anak Dato’ bila perkenalkan diri?Hanna sedikit mendengus.Dari awal pertemuannya dengan Fadzriq dia sudah tidak berkenan dengan cara yang dipamerkan lelaki itu.Berlagak sangat.Macamlah bapak kau sorang yang pegang title Dato’ tu.
    “Handsomenya dia Hanna.Kalau aku nak jadik calon awek dia boleh tak?Layak tak aku,Na?”Riana berbisik perlahan ketika Fadzriq melewati mereka untuk duduk ke tempatnya kembali.Matanya tidak sedikit pun lepas menatap langkah yang diatur Fadzriq.
   Hanna menjungkit bahu.Handsome?Tolonglah,wahai Rianaku sayang...Baginya tidak guna paras secantik mana jika perangai busuk mengalahkan sampah.
   “Ri,tolonglah jangan malukan aku,ingat kita ni wanita –wanita budiman jadi kau ni tolong,ya...behave sikit,”ujar Hanna sambil memalingkan wajah Riana dari memandang Fadzriq.Dalam masa yang Hanna perasan jelingan tajam yang dihadiahkan lelaki itu buatnya.Pasti kerana hal tadi...Ah,sudah...memang tempah masalahlah aku.Lantas fikirannya melayang teringatkan peristiwa yang berlaku ...
        Dia berjalan pantas.Selesai makan dia terburu-buru keluar.Solat Zuhurnya belum ditunaikan lagi.Sekarang sudah hampir 2.15,kelasnya bermula tepat jam 2.30 petang.Riana awal-awal sudah meninggalkannya kerana ibunya datang melawat sebentar tadi.
  Terasa jauh pula surau hari ini,pada hal jika diikutkan jarak surau hanyalah beberapa meter sahaja dari Dewan Makan.Hanna menggaru kepalanya perlahan.Banyak betul benda di otaknya kini,berserabut...kerja sekolah bertimbun,hal berkenaan badan pengawas dan tidak lama lagi sekolah akan mengadakan temasya sukan tahunan,semakin menggununglah kerjanya.
   Buk!Tanpa sedar dia melanggar seseorang lagi.Hanna mengeluh,apalah yang tidak kena dengannya hari ini,asyik terlanggar orang sahaja.Hanna memandang barang-barang yang berterabur di hadapannya.Dia seakan bingung dengan apa yang terjadi.
   “Sorry!”Hanna mendongak dan memandang empunya tubuh yang dilanggarnya.Sedikit terkejut namun dia hanya beriak selamba.Dia ingin segera berlalu namun terfikir betapa tidak wajar tindakan yang diambilnya.Dia berpaling...
   “Memang kerja kau kat sini langgar orang aje ke?”Sinis suara itu kedengaran.Wajah gadis dihadapannya itu dipandang tajam.
   Hanna hanya diam.Sedikit pun dia tidak membalas.Yang pasti wajah garang itu dipandang tanpa perasaan.Gayanya seperti orang bodoh sahaja.
    “Kan dah cakap sorry,tadi...tak dengar ke?”ujar Hanna perlahan seraya tunduk mengutip barang yang terjatuh di atas tanah.Malas mahu dilayan orang sombong seperti ini,nanti hatinya juga yang panas.
   “Kau ingat kalau cakap macam tu settle semua masalah?Dasar bodoh,tak ada otak,”herdik Fadzriq kuat.Orang-orang yang lalu di sekitar itu semua memandang mereka.Mungkin tertanya-tanya apakah yang sedang berlaku antara mereka.
   Hanna dipandang dengan hati yang membara,sudahlah dia benci dengan perpindahan ke sekolah ini dan sekarang ada pula yang sudi mencari pasal dengannya.Memang sengaja menempah bala...
   Hanna terkejut,tidak disangka Fadzriq akan melontarkan kata-kata sekesat itu.Memang diakui  salahnya,tapi bukankah dia telah meminta maaf tadi?Dan sekarang apa yang sedang dilakukannya?Bukankah dia sedang menebus kesalahannya dengan mengutip barang-barang lelaki itu?
   Wajah Hanna sudah memerah.Malu dan marah bercampur baur.Jika tidak difikirkan mereka sedang di khalayak ramai dan semua mata sedang bertumpu ke  arah mereka mahu sahaja pipi Fadzriq ditampar.Biar lelaki itu tahu pedih seperti itulah hatinya kini.
  “Tengok apa kau dah buat,habis kotor semua baju aku.Kau ni memang bebal nak mati,tahu tak?”Fadzriq menyambung lagi.Cuma nadanya tidak setinggi tadi.Matanya terhenti pada sehelai bajunya yang betul-betul berada di dalam lopak air.Warna biru cerah baju itu sudah bertukar kekuningan kerana lumpur yang terpalit.Semakin panas hati dibuatnya.Dia juga sebal dengan Pak Amin yang hilang kelibatnya dari tadi,kalau pemandunya itu menghantar terus dia ke asrama lelaki tadi tentu dia tidak akan bertemu dengan perempuan bodoh ini.
   Hanna ikut memandang ke arah  yang sama.Pantas sahaja langkah diorak menuju ke situ.T-shirt itu dicapai dan dia menuju semula ke  tempat Fadzriq berdiri.
   “Kau kata aku bebal,ya...aku rasa aku tak cukup bebal kalau aku tak buat ni.”Baju itu dicampak tepat ke muka Fadzriq.Wajah Fadzriq yang dipenuhi lumpur membuatkan hatinya puas dengan penghinaan yang dilontarkan kepadanya.Padan muka!Serentak itu kakinya laju berjalan laju meninggalkan lelaki itu.Suara pekikan Fadzriq tidak diendahkan langsung...memang itu balasan  terbaik untuk orang yang tiada adab seperti itu.

Wednesday, 29 June 2011

HANNA


Bab 3
   Haji Rahman memandang jauh ke arah ke kebun sayur-sayurannya.Alhamdulillah...segala pujian hanya untuk Allah yang maha Pemurah.Haji Rahman tersenyum.Tidak sia-sia diusahakan tanah seluas tiga ekar itu.Hanya itulah peninggalan arwah ibu dan ayahnya.Baki tanah selebih tiga ekar lagi adalah tanaman getah.Dia memanjat kesyukuran lagi.Pasaran getah sedang meningkat ketika ini,harganya boleh mencecah sehingga enam ringgit sekilogram.Bayangkan seminggu pendapatan hasil menorehnya sekitar hampir dua ribu ringgit,memang berbaloi.
   Hasil kebun sayurnya juga tidak menghampakan.Haji Rahman tahu harga getah tidak pernah kekal,ia boleh turun dan naik mendadak.Oleh kerana itulah dia membuat keputusan untuk menanam sayur-sayuran sebagai pendapatan tambahan.Manalah tahu pada satu saat nanti harga getah jatuh mendadak,dia masih punyai sumber kewangan sampingan untuk menyara keluarga.Satu faktor lagi menoreh bergantung kepada cuaca,jika panas mudahlah urusannya dan jika musim hujan tertutuplah  periuk nasinya.
  Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menyejukkan tubuh Haji Rahman yang terasa berbahang.Cuaca mendung namun teriknya mentari bagaikan memamah kulit.Perit terasa.Haji Rahman mengelap peluhnya yang berjuraian dengan tuala kecilnya yang tersangkut dibahunya.Air sirap limau yang terletak disebelahnya diteguk perlahan.Ah....lega rasanya.
   Minda Haji Rahman menerawang jauh.Banyak sungguh perkara yang bermain dimindanya.Tentang Hanna,apalah khabar anaknya seorang itu.Sihatkah Hanna?Sudah lama dia tidak mendengar suara Hanna,rasa rindunya mula menular.Haji Rahman mengeluh sendiri.Sepinya hidup tanpa anak-anak disisi.Sekelipan mindanya melayang teringatkan arwah isterinya.Jika ditakdirkan Fatehah panjang umur pasti hidupnya tidak akan sekosong ini.Fatehah...dalam diam dia menyeru perlahan sebaris nama yang cukup dirinduinya itu.
    Perihal Farhanah dan juga Razman tidak terlepas dari difikirkannya.Razman!Haji Rahman mengeluh panjang.Entah kenapa  nama Razman turut menyelit di ruang mindanya.Apa berita adiknya yang seorang itu dan di bumi mana Razman bernafas,Haji Rahman tidak pasti.
   Sudah lama Razman merantau membawa diri.Dia hilang tanpa jejak.Kecewa mungkin,gadis yang dipuja dalam diam akhirnya menjadi milik orang.Milik abangnya sendiri,itu yang membuatkan Razman berasa jauh hati apatah lagi ketika itu dia baru mengetahui hakikat sebenar yang dia hanyalah seorang anak angkat.Keluarga yang begitu menyayanginya bukanlah darah dagingnya yang sebenar.  
   Haji Rahman termenung lagi mengimbau masa lalu,memori antara dia,arwah Fatehah dan juga Razman.Segala-galanya bagaikan baru semalam terjadi.Dia tidak tahu langsung  adiknya,Razman menaruh hati terhadap Fatehah.Memang sukar untuk memahami jiwa Razman lantaran sikapnya yang pendiam dan suka memencilkan diri.
   Haji Rahman pula tidak tahu menahu langsung mengenai lamaran yang dibuat kedua ibu bapanya dibelakangnya.Tahu-tahu dia disuruh datang ketika upacara pertunangan berlangsung.Pertama kali bersua muka dengan Fatehah hati lelakinya terus terpaut.Keayuan,kesantunan merupakan pakej lengkap sebagai seorang wanita Melayu sejati,dan Fatehah memiliki kesemuanya yang membuatkan hati lelakinya tertambat.Tapi seandainya dia tahu isi hati Razman,awal-awal lagi dia bersedia mengundurkan diri memberi laluan kepadanya adiknya itu.Fatehah...ah,rindunya abang pada awak.
   “Ayah!”Suara itu mematahkan lamunan Haji Rahman.Dia segera menoleh.Farhanah menghampiri ayahnya dengan nafas yang tercungap-cungap.Basikal buruknya disorong dan diletakkan di bawah pohon ketapang berhampiran pondok berehat Haji Rahman.
   Haji Rahman tersenyum memandang Farhanah.Kasihan anaknya itu,memikul tanggungjawab besar sebelum waktunya.Usianya baru mencecah 14 tahun,namun Haji Rahman kagum dengan Farhanah.Anak bongsunya cekap menguruskan kerja rumah.Mengemas,memasak...semuanya sudah menjadi kepakaran Farhanah.Pendek kata,Haji Rahman tidak perlu risau mengenai urusan di rumah,semuanya ditanggung beres.
   “Ayah,adik minta maaf.Lewat pulak hari ni,tak perasan kelas adik habis lambat.Cikgu Rosman tu banyak celotehnya dari mengajar,” adu Farhanah sambil tangannya ligat membuka penutup bekalan yang dibawa.Farhanah memang sudah lama geram dengan guru Bahasa Inggerisnya itu,sepatutnya kelasnya habis pada pukul 11.30,tapi terpaksa pula dia mendengar cerita tentang anak dan isteri Cikgu Rosman.Tentang anaknya yang gila berfacebook dan isterinya yang kuat merajuk.Masuk akalkah cerita seperti itu diselitkan dalam pembelajaran Bahasa Inggeris?Huh!tak berkaitan langsung.
     Haji Rahman menggeleng perlahan.Tidak senang dengan bicara anaknya mengenai gurunya itu.
    “Tak baik adik cakap macam tu.Diakan cikgu adik,dah banyak ilmu yang dia ajar pada adik,’Haji Rahman menegur lembut.Dia tidak mahu Farhanah terus memburuk-burukkan gurunya.
   “Memanglah ayah,tu adik tahu.Tapi cikgu Rosman tu memang macam tu.Suka sangat menjaja cerita peribadi dia,mengajar sekejap lepas tu dia melalut tak sudah.Kadang-kadang adik rasa dia macam buka keaiban sendiri,”rungut Farhanah lagi.Bukan niatnya untuk mereka cerita tetapi memang itu hakikat yang sebenarnya.
   Haji Rahman tersenyum lagi memandang anak gadis suntinya itu.Dia tahu Farhanah anak yang jujur,namun dia tidak mahu sifat jujur Farhanah menyebabkan Farhanah terbiasa memperkatakan sesuatu tentang orang lain.    
  “Adik..adik...walau buruk macam mana sekalipun dia tetap guru adik.Ingat,dia banyak mengajar adik.Adik jangan lupa tu.Lagi satu,walaupun sikapnya begitu biarkanlah...adik kena belajar hormatkan dia.Kalau tak,sia-sia adik belajar,tak berkat,”tulus nasihat seorang ayah.Wajah Farhanah diusap perlahan.
   Farhanah terdiam.Ada benarnya kata-kata ayahnya itu.Ustazah Huda juga pernah memperkatakan hal yang sama.Betapa pentingnya keberkatan dalam belajar dan betapa perlunya restu seorang gurunya terhadap anak didiknya dalam menuntut ilmu.Farhanah jadi takut sendiri,takut jika ilmu yang ilmu yang diajar gurunya tidak dihalalkan.Pasti susah kehidupannya nanti.
   “Okey,adik janji tak cakap macam tu pasal Cikgu Rosman lagi.Ayah makanlah lebih sikit...kenapa?Adik masak tak sedap ke hari ni?”ujar Farhanah.Dia tidak mahu memanjangkan topik itu,tentang Cikgu Rosman...biarkanlah...
  Farhanah menyendukkan lagi nasi ke pinggan Haji Rahman.Risau pula dia melihat nasi yang sedikit dipinggan ayahnya.Selalunya Haji Rahman makannya tidak pernah tidak bertambah.Tak sedap ke?Farhanah merasa kuah lemak cili padi ikan keli yang dimasaknya.Hmmm...ok je.Cukup rasa semuanya.
   “Sedaplah adik masak ni,ayah cuma tak ada selera aje.Mungkin masih  kenyang sarapan roti canai tadi,”Haji Rahman segera membasuh tangannya.Azan Zuhur sudah berkumandang dari surau yang terletak di hadapan kebunnya.Dia harus segera pulang,kewajipan pada Yang Esa perlu ditunaikan secepatnya.
   “Ayah,adik lupa nak cakap,tadi Along telefon.Dia kirim salam pada ayah.Dia kata bulan depan dia balik,”Farhanah manyampai pesan.Dia juga ikut berkemas ingin pulang.Petang nanti pasti Haji Rahman akan mengajaknya turun ke kebun semula.

                                                                          #        #        #
    Dia tersenyum seorang diri.Makan tersenyum,mandi tersenyum dan paling mengerikan nak melelapkan matapun,bibirnya masih tetap mengukir senyum.Gelagatnya menyebabkan orang-orang di sekelilingnya berasa rimas.Gila agaknya...Mungkin itu persoalan yang bermain di benak mereka.
   “Woi,kau ni gila ke?Sengih sini,sengih sana.Aku rasa kerang busuk pun lagi cantik dari kau punya gigi tau,”marah Hilman sambil mencampakkan bantal ke  arah Irfan.Tension pula dia dibuatnya.Mana tidaknya,semenjak semalam kawannya berkelakuan seperti orang gila.Tersenyum seorang diri,bila ditanya Irfan senyap.Namun senyumnya masih tidak lekang dibibir.Terkena penyakit angau agaknya temannya yang seorang ini.
   “Irfan Muzakkir,aku bagi amaran kat kau.Lagi sekali aku tanya kau jawab dengan sengih,kau tahulah apa akibatnya,”sambung Hilman lagi.Dia sudah berganjak dari katil ke meja study.Tertekan melihat Irfan yang macam tak sempurna akalnya.Lantaklah kau...
   “Tak ada apalah Man.Kau ni bab-bab menyemak hal  orang,memang nombor satu.Suka hati akulahkan,nak senyum ke nak menangis ke...”Irfan membidas semula.Dia duduk dibirai katil.memerhati Hilman yang bagai lipas kudung menyiapkan homework.Hmm...itulah padahnya buat kerja last minute,Irfan sudah masak sangat dengan perangai Hilman.Lima tahun berada di sekolah ini dan berkongsi bilik yang sama membuatkan dia sudah mengenali setiap karakter rakan sebiliknya dengan baik.
   “Ah,sudahlah kau.Takkanlah dah kritikal macam ni pun,kau nak sorok dari aku.Cepatlah cerita...siapa budak tu?”Soal Hilman selamba.Dia masih sibuk menulis dan wajah Irfan tidak dipandang langsung.Sibuk benar lagaknya.
   “Eh,kau memandai aje.Budak mana pulak ni?”Irfan masih mahu berdalih.Dia tahu maksud sebenar Hilman.Sengaja dia berpura-pura tidak mengerti soalan Hilman.
   “Kau tak usahlah nak bohong aku,Fan.Aku kenal siapa kau.Kalau dah lelaki senyum sendiri,tu apa maknanya lagi?Aku bukan budak tadika,ya.Kejap,biar aku teka...kau dengan...”
   “Dengan siapa?”Irfan pantas memintas.Bimbang juga rahsia hatinya terbongkar.Terbongkar dengan Hilman pulak tu,habis dicanang satu sekolah nanti.
   “Siapa lagi?Lily Nazeera,kan?Bukan main rapat lagi kau dengan minah tu.Tapi berutunglah kau...cun tu,”Hilman memainkan riak muka nakal.Dia tersenyum penuh makna.Buku sekolah ditutup.Terasa menarik pula kisah Irfan kali ini.Bertuahlah punya wajah kacak,berderet perempuan cantik menanti.
   Fuh!!!Nasib baik.Salah tekaan kau,Man.Irfan tergelak sendiri.Ketawanya meletus perlahan bila tekaan Hilman meleset sama sekali.Gelaknya itu mencetuskan maksud yang berbeza pada Hilman.Hilman tersengih.
   “Haa...tu dah gelak tu.Betullah,kan?Sudahlah kau,Fan.Memang tak boleh kau nak berahsia dari aku,”katanya lagi.
   Irfan menggeleng-gelengkan kepalanya.Terasa lawak pula kata-kata Hilman pada pendengarannya.Lily?Tolonglah...gadis itu diakui memang cantik,namun kecantikan Lily Nazeera tidak sedikit pun memikat hatinya.Ada gadis lain yang lebih menambat jiwa lelakinya.Hanna Darwisyah!Secara tidak langsung bibirnya mengukir senyuman.
   Dia masih ingat detik itu.Dua hari lepas,ketika di gelanggang basketball.Dia terpaku melihat pandangan mata redup itu.Hanna...hatinya berlagu riang bila menyebut nama gadis manis itu.Adakah Hanna juga seperti aku?Menyimpan perasaan dalam diam.Ah,perasannya...Tidak mungkin.Tidak mungkin Hanna berperasaan sepertinya,tingkah Hanna tidak menunjukkan mereka berkongsi rasa.
   Diimbas kembali masa-masa lalu.Hanna tidak pernah menunjukkan tanda-tanda suka kepadanya.Berbeza dengan Lily Nazeera,gadis itu terang-terangan mengaku menyukai dirinya.Hanna lebih pendiam dan berlagak selamba setiap kali mereka bertembung di mana-mana.
   Hai...Hanna...Hanna...Irfan senyum lagi.Entah kenapa nama Hanna membawa kegembiraan dalam dirinya.Biarlah rasa hatinya disimpan sendiri.Dia tidak mahu sesiapa menghidu perasaannya terhadap gadis bernama Hanna.
   “Hai kot iya pun ingat awek,tak payahlah sampai mereng macam ni.Dah,daripada kau ingat si Lily yang melalaikan tu,jom ikut aku ke surau.Solat isya’berjemaah,lagi untung,”Hilman pantas mendorong Irfan bangun dari katil.Tubuh temannya itu ditolak hingga ke muka pintu bilik.Parah keadaan Irfan ni...Hilman menggumam sendiri.

Friday, 24 June 2011


Bab 2
  “Hanna!Hei Hanna!Kau tak dengar ke aku panggil kau.Dah pekak sangat ke telinga tu?”soal satu suara.Nadanya begitu tinggi sehingga menyebabkan sesiapa sahaja  yang mendengar pasti bernanah telinga.
   Hanna menoleh ke belakang.Memerhati siapa empunya suara yang begitu biadap itu.Bukan tahu nak beri salam,tak reti nak hormat orang.Tak apalah,mungkin mak ayah kau lupa nak ajar kot...Hanna memandang ke hadapan semula setelah mengetahui jawapan.Dia menyambung kerjanya kembali.Tidak kuasa mahu melayan.
   Lily Nazeera memandang jengkel Hanna.Meluat betul dia melihat gadis itu.Entah apa istimewanya si Hanna ini dia tidak tahu.Semua orang asyik menyebut nama Hanna,Hanna itu ...Hanna ini...menyampah sungguh.Apa yang menyebabkan dia lebih geram jejaka pujaannya turut melakukan hal yang sama.Asyik nama Hanna yang meniti di bibir lelaki itu setiap kali mereka keluar bersama.Bosan!!!!
   Dia mengatur langkah perlahan menuju ke arah Hanna.Lenggang-lenggok gayanya berjalan persis seorang model sedang membuat pertunjukan fesyen.Lily Nazeera,siapa yang tidak kenal dia?Kalau sebut sahaja namanya gerenti semua orang tahu.Tinggi lampai,berwajah pan-asean memang merupakan pakej lengkap yang melayakkan dia digilai ramai lelaki dan dan dicemburui semua gadis.
   Tap!Dia menghentak kuat meja Hanna hingga mengejutkan gadis itu.Lily Nazeera tersenyum sinis memandang Hanna yang terkebil-kebil.Namun senyumnya segera mati,digantikan dengan wajah masam mencuka.
   “Ya,Cik Lily...ada apa-apa masalah ke?”soal Hanna malas.Wajah mencuka itu dikerling sekilas.Nota sejarah yang terbengkalai sejak dari minggu lepas disambung semula.Kehadiran Lily Nazeera ketika itu dianggap seperti tiada.Menyebabkan gadis sombong itu bertambah sebal dengan kerenahnya.
   “Hei Hanna,kau jangan nak buat bodoh,ya.Aku ada kat depan ni,kau jangan nak buat tak tau pulak.Kau ni memang cari pasal dengan akulah!”Suara Lily Nazeera melengking kuat.Geram sungguh dia dibuatnya.
   “Aku dah tanya tadi,kau tak jawab.Sekarang jangan nak mengamuk pulak.Kalau tak ada  hal penting tolonglah jangan ganggu aku.Aku ada banyak lagi perkara yang nak dibuat.Terima kasih,”kata Hanna dalam riak yang tenang.Dia bingkas bangun lalu menyusun bukunya yang berterabur di atas meja.
   “Hanna Darwisyah Rahman!Aku tak habis lagi cakap dengan kau ni,kau jangan ingat semua orang sukakan kau,kau boleh besar kepala,ya.Aku nak cakap sikit dengan kau,so  kau dengar baik-baik.Aku tak nak kau sekali-kali dekat dengan Irfan,kau faham tak?Kalau aku dapat tahu kau cuba nak mengendeng-ngendeng kat dia,kau tahulah nasib kau macam mana.Ingat!”Lily Nazeera segera meninggalkan kelas itu.Puas!Itulah yang dirasakannya ketika ini.Dia benci melihat wajah tenang Hanna itu.Lebih benci bila sepatah nama itu meniti di bibir Irfan.Dalam kepalanya sudah merangka tindakan yang bakal diambil sekiranya Hanna mengingkari kehendaknya itu.
   Hanna,baik kau berjaga-jaga.Desis hatinya dengan senyuman sinis tersungging di bibir nipisnya.Irfan hanya miliknya seorang.
   Hanna terpinga-pinga.Kenapa dengan minah tu?Hatinya dilanda kehairanan.Dia mendenagr dengan jelas tadi Lily Nazeera menyebut nama Irfan.Irfan?Olahragawan sekolah tu ke?Tapi kenapa?Sejak bila aku rapat dengan dia?Gila!Hanna menggerutu,Lily Nazeera memang kurang waras agaknya.
   Riana mencuit lembut bahu Hanna.Dari tadi dia memerhati drama sebabak itu.Tapi dia tidak mengerti apa-apa.Setahunya Lily Nazeera itu sombong orangnya,tidak pernah mahu menegur sesiapa.Lebih-lebih lagi jika orang biasa.Baginya semua orang tidak setaraf dengannya.Teman-temannya pula mesti terdiri daripada golongan sepertinya,kaya dan cantik.Dasar perempuan kerek!
  Tapi kenapa dia jumpa Hanna?Hatinya teringin mengetahui cerita sebenar.
  “Hanna,aku tanya kau sikit boleh?”
   “Hmm...”hanya itu yang lahir dari mulut temannya itu.
   “Kau jangan marah ya?”
   “Iya...kau nak apa sebenarnya ni?Kau ada buat salah dengan aku ke?”Hanna serkap jarang.Sengaja ingin menduga,dia tahu apa yang ingin ditanyakan teman baiknya itu.
  “Errr...kenapa tadi tu?Kenapa Lily jumpa kau?Ada hal apa?Dia nak cari gaduh dengan kau ya,”pantas mulut Riana bertanya.Hanna dilihat begitu selamba bagai tiada apa yang berlaku.Dia tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku pada Hanna.Hanna teman baiknya,sudah lima tahun mereka menjalinkan persahabatan.Gembira Hanna gembiranya juga dan sedih Hanna adalah miliknya .Dia tidak rela perasaan Hanna disakiti.
  “Entahlah,Ri.Aku pening jugak bila fikirkan Miss World tu.Aku pun tak tau kenapa dia cari aku,Tapi tadi dia ugut aku,kau tau tak?Dia cakap dia tak nak nampak aku rapat dengan Irfan,kau percaya?”soalnya.Riana dipandang dengan kerut seribu.Antaranya dengan Riana sememangnya tiada rahsia.Dia bebas mencurah rasa pada Riana.
  “Eh kenapa pulak?Irfan?Kau maksudkan Irfan Muzakkir,budak kelas Einstein tu?Kenapa,ya?”Riana juga ikut tidak mengerti.Macam-macam,fikirnya.
  “Lawak betul Lily tu,kan?Entah bila masa aku rapat dengan mamat tu,tiba-tiba ugut aku supaya aku jauhkan diri.Kau tak rasa  itu gila ke?”ujar Hanna sambil tergelak.Batang pensel dicapai dan menyambung kerjanya menyalin nota subjek Biologi pula.
  “Hanna,entah-entah si Irfan tu minat kat kau tak?Tu yang minah tu jealous kot,lepas tu serang kau.Ala macam dalam drama Melayu’,”Riak Riana tampak serius.Menggambarkan kata-katanya adalah pasti.Wajah Hanna direnung lama.
  “Riana,kau buat lawak apa ni?Lawak antara benua ke?Siapalah aku ni,Ri nak dibandingkan dengan dia tu.Aku rasa si Irfan tu bodoh kot kalau betul dia pandang perempuan lain. Tak ada yang istimewanya tentang aku,”katanya begitu merendah diri.
   “Lagi pun memang tak masuk akal jika difikirkan cakap kau ni,aku tak pernah langsung bercakap dengan dia,mana nak timbul minat tu sayang oi!”Hanna menyambung lagi.  
     Riana tersenyum mendengar ucapan itu.Hanna memang selalu merendah diri.Baginya Hanna memang istimewa.Jika dibandingkan rupa paras Hanna dengan Lily Nazeera,wajah Hanna tidaklah teruk mana malah dia merasakan Hanna lebih cantik daripada Lily Nazeera.Bukan itu sahaja hati yang tulus milik Hanna menambahkan kecantikan sahabatnya itu.Tidak seperti Lily Nazeera,wajahnya memanglah secantik Juliana Evans tapi apalah erti cantiknya wajah jika hati sebusuk bangkai.
   “Ri,yang kau tenung aku lama-lama ni kenapa?Aku tahulah aku ni makhluk tuhan paling jelita.Tapi tak perlulah tenung aku macam kau nampak Aishwariya Baachan  pulak,”Hanna berlelucon.Rimas pula bila Riana merenungnya begitu.Ada yang tak kena dengan muka aku ke?Hanna meraba wajahnya.
  “Hish,kau ni jangan nak buat aku muntah kat sini.Sudahlah kau,merepek aje.Tak adalah aku cakap apa yang aku rasa je...ada kemungkinan tu.Eh dah pukul berapa ni?Aku nak pergi cari cikgu kimia dululah,karang membebel pulak ketua kelas kita tu...”Riana bingkas bangun dari tempat duduknya.Sejak semalam Zul sudah berpesan kepadanya untuk menggantikan tugas-tugasnya sepanjang ketiadaan dia.Sakit mata punya hal ketua kelasnya itu terpaksa bercuti selama seminggu.Jadi selaku penolong yang baik dia perlu melaksnakan amanah yang diberi dengan sebaiknya.
  “Jangan lama sangat,aku dah rindu nak masuk lab ni,”sempat Hanna menjerit ketika Riana sudah tiba di muka pintu kelas.Riana hanya menggeleng sambil langkahnya dipercepatkan.

                                                                  #       #     #   

   ‘Ah...letihnya hari ni.’Hanna menyandarkan tubuhnya ke kerusi.Kelasnya kosong.Semua pelajar sudah lama pulang ke asrama.Hanya dia yang masih di situ,Riana juga sudah pulang.Selalunya di mana ada dia di situlah ada Riana.Sebentar lagi guru kelabnya ingin berjumpa untuk membincangkan aktiviti persatuan minggu ini.Dia malas mahu berulang-alik dari asrama ke sekolah,jarak antara keduanya bukannya dekat.Jadi lebih baik dia menunggu di sekolah sahaja.
   Hanna mencapai majalah Dewan Siswa milik Riana.Minat betul Riana dengan majalah itu,memang dia sudah menjadi salah seorang pelanggan setia majalah yang sarat dengan informasi itu.Dibaca sepintas lalu dan diletakkan semula di bawah meja.
   ‘Hish bosannya!Cepatlah pukul 5.00...Cepat jumpa cepatlah selesai,’hatinya berdetik lagi.Hanna merenung ke luar tingkap kelasnya.Padang sekolah sudah dipenuhi dengan pelajar-pelajar yang ingin melakukan aktiviti riadah.Ada yang bermain ragbi,bola tampar dan juga bola keranjang.Pemain-pemain bola jaring tidak kelihatan kerana sesi latihan mereka biasanya diadakan pada hari Khamis.Kalau tidak sudah pasti wajah Riana tersembul di situ.
  Hanna memerhati lagi.Kali ini bola matanya terhenti pada sesusuk tubuh yang dikenalinya.Irfan!Begitu lincah lelaki itu beraksi di padang latihan.Tangkas sahaja tangannya menjaringkan bola.Timbul sedikt perasaan kagum di hati Hanna.
  Macam manalah si Lily boleh dapat idea yang aku mengendeng kat boyfriend dia tu?Hanna mengeluh perlahan.Langsung tak masuk akal.Gila!Hanya satu perkataan yang mampu dia sebut setiap kali teringat pertemuan dia dan Lily Nazeera tadi.Dia masih mencari-cari atas alasan apa Lily Nazeera menuduhnya sebegitu rupa.
   Hanna tersentak.Pandangannya bertembung dengan panahan mata Irfan.Dia tergamam.Pantas dilarikan anak matanya ke tempat lain.Dia berundur setapak demi setapak dan beranjak jauh dari jendela itu.Mati!Karang tak pasal Irfan ingat aku sengaja skodeng dia.Hatinya berlagu bimbang,manalah tahu Irfan akan mengadu pada buah hatinya nanti,pada hal dia bukannya sengaja.
  ‘Ah...lantaklah,’dia malas ambil pusing lagi.Dia melihat jam yang terlilit di pergelangan tangannya.Ah sudah,dah pukul 5.10...Hanna  mencapai buku catitannya dan pantas mengorak langkah menuju ke bilik guru.Tugasnya harus diselesaikan segera.Persoalan Irfan hilang begitu sahaja.

Thursday, 23 June 2011

HANNA

BAB 1
 
   Awan kelabu berarak perlahan.Angin pula bertiup kuat menandakan hujan akan turun tidak lama lagi.Dua orang gadis kecil berlari-lari mendapatkan tempat berteduh bila titis-titis hujan mula membasahi bumi.
   Si kakak mengeluarkan sapu tangan daripada beg sandangnya.Mengelap bahagian tubuhnya yang terasa basah.Setelah selesai dia berpaling ke arah adiknya pula,adiknya itu begitu khusyuk mengunyah coklat yang dibeli dari kantin sekolah.Langsung tidak dihiraukan  keadaan sekelilingnya.
  Hujan  turun dengan lebat sehingga menyebabkan pondok menunggu bas yang usang itu  mulai basah.Si kakak menarik adiknya supaya rapat dengannya.Dalam hati kerisauan mula beraja memikirkan yang ibunya pasti risau mengenai mereka berdua.Dia mengerling jam tangannnya,sudah lewat.Ayahnya tentu sahaja tidak dapat mengambil mereka sekarang,dengan keadaan hujan lebat begini tentu sahaja ayah sukar bergerak ke mana-mana dengan motorsikal lama itu.
    Hanna mengeluh perlahan.Tiada apa yang dapat dia lakukan.Menunggu dan terus menunggu supaya hujan segera berhenti.Dia memandang wajah polos adiknya,menggigil-gigil menahan sejuk.Hanna hanya tersenyum sambil tangannya pantas menarik tubuh kecil itu rapat ke tubuhnya,biar mereka berkongsi kehangatan.
   “Along,bila nak balik ni?Ibu mesti risau kita balik lambat,”ujar Farhanah setelah hujan yang tadinya lebat mulai teduh.
   “Sabarlah,dik.Sekarang masih hujan lagi...nanti bila hujan dah betul-betul berhenti kita balik,ya,”Hanna berkata sambil mengelap sisa coklat yang melekat di bibir Farhanah.Sekejap-sekejap dia melihat awan yang semakin cerah.Cahaya mentari mula menunjukkan sinarnya.Hanna menghembuskan nafas lega.
   “Along,kita balik ya,adik tak sabar nak jumpa ibu.Tadi cikgu ada bagi surat  kebenaran untuk ibu tandatangan.Adik dapat masuk pertandingan bercerita peringkat daerah,”Farhanah memujuk lagi.Berharap  Hanna akan segera membawanya pulang ke rumah.Pesan guru darjahnya itu harus segera disampaikan.
   Hanna mengangguk perlahan.Tanda bersetuju dengan kata-kata adiknya itu.Dia juga sememangnya ingin segera pulang.Tidak sabar rasanya ingi memberitahu ibu dan ayahnya tentang keputusan peperiksaan pertengahan tahunnya yang cemerlang.Dia mendapat tempat pertama lagi,pasti senyuman gembira akan menghiasi wajah mereka.
   “Adik,jom balik.Hujan pun dah berhenti,tak payahlah tunggu ayah ambil kita,jom...”Hanna menghulurkan tangannya.Farhanah yang sedang duduk malas segera menyambut huluran tangan kakaknya itu.Keduanya tersenyum gembira,masing-masing punya berita baik untuk disampaikan.
   Namun dalam tersenyum gembira masih terselit sedikit kerisauan di hati Hanna.Ibunya agak lain ketika dia ingin melangkah ke sekolah pagi tadi.Wajah manis ibunya tetap ceria namun kelihatan tidak bermaya.Bibirnya kering dan wajahnya pucat.Bicaranya pun kedengaran aneh dan sedikit menakutkan jiwanya.
   “Hanna,sayang.Belajar elok-elok,kalau boleh ibu nak Hanna belajar sampai ke peringkat paling tinggi.Ibu dan ayah tak mampu nak beri kemewahan pada Hanna dan adik.Jadi anggaplah ilmu tu harta  yang paling bernilai buat Hanna.”Tubuh kecil Hanna dipeluk erat oleh Fatehah,seakan tidak mahu dilepaskan batang tubuh anak sulungnya itu.Dia tidak tahu kenapa hatinya sebak sepanjang pagi ini.Dia terasa seakan ada sesuatu yang bakal menimpanya.Tubuhnya terasa lesu dan sudah tiga kali dia jatuh pengsan tanpa sedar.Menyediakan sarapan pun dia tidak mampu,kasihan anak-anaknya.Mujur dia punya suami sebaik Rahman,Rahmanlah yang menyediakan segala keperluan Hanna dan Farhanah ke sekolah.
   Hanna terdiam mendengar kata-kata ibunya.Sungguh aneh sekali pesanan Fatehah buatnya pagi ini.Selalunya ibu hanya mengucup kedua belah pipinya selepas dia dia menghulurkan tangan untuk bersalam.Hati kecilnya turut merasakan sesuatu namun cepat-cepat perasaan itu ditangkis.
   “Ibu,ibu menangis?Kenapa ni ibu tak sihat ke?”Tanyanya bila bahunya terasa basah.Segera disentuh wajah ibunya.Dia mengesat mutiara jernih yang mengalir dipipi itu.
    Tiada jawapan diberi.Fatehah hanya menggeleng lemah sambil tersenyum hambar.Cuba menenangkan rasa tidak keruan Hanna.Sekali lagi tubuh Hanna diraih.Fatehah menagis lagi,dia cukup bersyukur dikurniakan anak sebaik Hanna dan Farhanah.Mereka anak yang baik yang tidak pernah menyusahkan dirinya dan suaminya.Mereka tidak pernah membantah kata-katanya.Dia bersyukur dan seandainya nyawanya ditarik ketika ini,tiada kekesalan yang membelenggu dirinya.
   “Ibu,ibu jangan sedih-sedih,ya.Hanna nak pergi sekolah ni, hati Hanna tak sedap tengok ibu macam ni.Ibu sakit ya,kalau macam tu biar Hanna cuti hari ni.Hanna boleh jaga ibu,nanti kalau ibu perlukan apa-apa Hanna boleh bantu,”kata Hanna sambil meleraikan pelukan.Dia duduk di birai katil bersebelahan ibunya.Sekali lagi wajah manis ibunya ditatap.Dia tidak sampai hati membiarkan Fatehah keseorangan di rumah.Tubuh kurus itu terasa hangat,ibunya demam barangkali.
   Fatehah menggeleng.Memang dia tidak bermaya namun kudratnya masih ada.Tidak perlulah sehingga Hanna terpaksa ponteng deminya.Dia tidak mahu pelajaran Hanna terganggu.
   “Eh,mana boleh macam tu,Hanna kena sekolah.Ibu sihat,jangan risau.Kejap lagi ibu makan ubat,nanti tengah hari baiklah.Hanna pergi sekolah,belajar macam biasa dan tumpukan perhatian betul-betul,ya.”
   “Tapi Hanna risaukan ibu,ibu demamkan?Biarlah Hanna jaga ibu.”
   “Hanna sayangkan ibu tak?Kalau sayang pergi sekolah ya,belajar pandai-pandai.Dengar cakap ibu,Hanna budak baikkan?”Fatehah bersuara lemah.Wajah kecil dihadapannya diusap perlahan,menunjukkan betapa kasihnya dia terhadap anak itu.
   Akhirnya Hanna mengalah.Dia bangkit dan pantas tangan ibunya dicapai.Dahi ibunya dikucup sayang.Lama hingga menyebabkan Fatehah hampir teresak kembali.Namun esakan itu segera ditahan agar  tidak ketahuan.
   “Hanna pergi dulu ibu,sayang ibu.Ibu jangan nakal kat rumah tau,nanti Hanna balik Hanna buat spot check,Hanna nak tanya Mak Yam apa ibu buat sepanjang hari,”Hanna seakan mengugut.Kata-katanya itu menyebabkan Fatehah tergelak.Kedengaran lucu bila si anak berkata begitu kepada ibunya.
   Fatehah mengangguk sambil tersenyum manis mengiringi pemergian  anaknya ke sekolah.Semoga Hanna dan Farhanah menjadi orang yang berguna pada agama dan bangsa suatu hari nanti.Itulah doanya.
    “Along,Pak Mail panggil,”Farhanah menarik lengan baju Hanna.Hanna masih selamba,hanya mendiamkan diri.Panggilan adiknya tidak dihiraukan.Dia seolah-olah dalam dunianya sendiri.
   “Along!Along orang cakap dengan dia boleh dia buat tak tau aje,along...Pak Mail panggillah.” Farhanah sedikit menjerit.Geram bila kata-katanya tidak dipedulikan.Entah kenapa agaknya Hanna seperti berangan.Semenjak tadi dia perasan Hanna seperti itu.
   “Hanna!”Pak Mail berteriak setelah dua beradik itu kian mendekatinya.Dia yang berada di seberang jalan pantas menunggang motosikalnya menghampiri Hanna dan adiknya.
   Hanna mendongak.Mencari gerangan yang memanggil namanya.Bila dilihat Pak Mail disebelahnya,pantas bibirnya mengukir senyum.
   “Pak Mail,ada apa?Pak Mail dari kenduri ke?”Hanna segera bertanya bila melihat Pak Mail yang lengkap berbaju melayu dan bersongkok.Sudah menjadi tradisi di kampungnya kenduri diadakan pada waktu siang,tidak seperti tempat-tempat lain yang kebiasaannya mengadakan kenduri pada waktu malam.Jadi tiada apa yang perlu dihairankan bila orang berpakaian seperti itu di siang hari.
   Pak Mail terdiam seketika.Soalan Hanna tidak dijawab,hanya matanya yang terkebil-kebil memandang dua beradik itu.
   “Ni sebenarnya,ayah kamu minta tolong Pak Mail jemput kamu berdua,marilah naik.Cepat,ayah kamu dah tunggu lama tu,”ujar Pak Mail.Tingkahnya nampak tergesa-gesa bagaikan sedang mengejar sesuatu.Hanna dan Farhanah saling berpandangan.Tanpa banyak soal mereka berdua terus menenggek di atas motorsikal itu.
    Sampai sahaja di perkarangan rumahnya,Hanna jadi pelik.Perkarangan rumahnya dipenuhi orang.Sepanjang sepuluh minit perjalanan ke rumahnya Pak Mail hanya diam,langsung tidak bersuara.Tidak seperti selalu,hanya mulutnya yang menceceh.Bercerita itu dan ini sehingga dia naik bosan setiap kali ayahnya meminta orang tua itu yang menjemputnya pulang dari sekolah.Apa tidaknya terpaksa menjadi pendengar setia,siapa yang rela...
    Hanna sudah tidak peduli keadaan sekelingnya.Pantas sahaja kaki dihayun menaiki tangga kayu rumahnya itu.Hatinya tidak keruan,perasaan yang hadir mengenai ibunya sebelum dia ke sekolah bertandang lagi.Ya Allah...
   Langkahnya terhenti di muka pintu.Semerbak hidungnya terhidu bauan yang lazimnya ada ketika dia mengikut ayahnya menguruskan jenazah.Telinganya dihidangkan dengan bacaan surah Yassin yang begitu mendayu sehingga mengundang sebak di hatinya.Tak mungkin...hatinya berdetik.
   Dia memandang ke arah satu sudut.Ayahnya kelihatan tenang dan mulutnya teruterkumat-kamit membaca ayat-ayat suci itu.Hanna memandang pula wajah-wajah yang lain,ada riak suram yang terpamer pada wajah mereka semua.Perlahan Hanna menuju ke  arah sekujur tubuh yang berbalut kain putih di hadapannya.
   Kain yang menutupi wajah itu dibuka.Ibu...hatinya berbisik perlahan.Wajah ibunya kelihatan tenang dan seakan-akan tersenyum memandang ke arahnya.Hanna memejamkan mata,terimbau kembali senyuman ibunya pagi tadi.Sungguh dia tidak menyangka itulah senyuman terakhir daripada ibunya.
    “Ibu...”suaranya bergema.Perlahan sekali.Dadanya terasa bergetar dan matanya secara tidak langsung mengalirkan air hangat.Ibu,kenapa tinggalkan Hanna?Kenapa ibu tak tunggu Hanna balik dulu?Hanna pergi sekejap aje,bu...Hanna dah janji Hanna akan balik cepat.Kenapa ibu tak biarkan Hanna jaga ibu,tunggu ibu di rumah?Kenapa,bu?Batinnya menjerit kuat.Bahunya terhenjut-henjut menahan esakan yang bakal lepas.Sungguh...sungguh dia tidak mampu menghadapi kenyataan ini.
    Ibu,ibu tahu Hanna ada banyak perkara nak kongsi bersama ibu hari ni,Hanna dapat nombor satu lagi,bu.Cikgu ada bagi Hanna hadiah sebab prestasi Hanna tak pernah menurun.Hanna baru ingat nak tunjukkan ibu hadiah tu tapi...ibu,satu perkara lagi... Hanna dalam kelompok pelajar cemerlang tahun enam,jadi cikgu dah siapkan borang untuk ke sekolah yang bagus...ibu suka,kan?Hanna ada banyak lagi cerita nak beritahu ibu...
   Hanna menangis lagi.Air matanya kian lebat membasahi pipi.Tangisannya semakin kuat bila jenazah ibunya sudah diangkat untuk dikebumikan.Rahman segera mendapatkan Hanna dan Farhanah.Tubuh kecil mereka dipeluk erat,dia faham keperitan yang dialami anak-anaknya.Dia juga menanggung sengsara yang sama.Dia tidak menduga sama sekali akan kehilangan wanita yang dicintai seumur hidupnya sekelip mata.Namun takdir Allah,siapalah dia untuk menidakkan kuasaNya.
   “Sayang,jangan menagis macam ni.Tak elok...ibu pun mesti tak suka tengok along dan adik macam ni.Along belajar agama,kan?Apa ustazah ajar bila ada kematian,lebih-lebih lagi bila orang yang kita sayang dan dekat dengan kita pergi?”Rahman cuba memujuk keduanya.Tangisan Hanna dan Farhanah sedikit reda,perlahan Hanna menyeka air matanya.Memandang tepat wajah tenang Rahman.
   “Kita kena doakan mereka dan jangan sesekali meratapi kerana itu akan menyeksa mereka,faham tak?”Rahman menyambung lagi,suaranya begitu lembut menasihati anak-anaknya.Dia perlu kuat di hadapan mereka,dialah sumber kekuatan Hannah dan Farhanah ketika ini.Jika diikutkan rasa pasti dia sudah gila,bagaimanalah dia mahu mengharungi hari-harinya tanpa Fatehah.sudah 20 tahun dia berkongsi suka dan duka bersama wanita itu.Fatehah merupakan sebahagian daripada dirinya,tanpa Fatehah dia lumpuh.
   Hanna hanya memerhati dari jauh orang ramai mengiringi jenazah arwah Fatehah.Dia hanya  tersandar di pintu rumahnya.Untuk berdiri pun dia tidak kuat,tubuhnya begitu lemah.Dia juga tidak mampu melihat jasad  ibunya ditimbus tanah.Dia tidak mampu.
  “Ibu!”Hanna menyeru perlahan panggilan itu.Sekali lagi empangan matanya pecah...

                               #               #                #                                                                                                       
   Hanna tersentak.Serta-merta dia terjaga dari tidurnya.Dia meraup wajahnya.Basah!Ada air mata yang mengalir,pantas diseka.Hanna termenung jauh.Sudah lima tahun episod duka itu berlalu namun dia merasakan seperti baru semalam ibunya pergi meninggalkannya.Mimpi itu kerap mendatanginya.Hampir saban malam dia dihantui kenangan pahit itu hingga kadang kala tidurnya terganggu.Hanya Tuhan yang tahu betapa peritnya kehilangan seorang ibu.
    Hanna mencapai jam loceng di sebelahnya,4.30 pagi.Perlahan dia bangun dari katil dan menuju ke tandas yang terletak bersebelahan dengan dormnya.Pili air dibuka dan wajahnya dibasuh,satu-persatu rukun berwudhu’ dilakukan.Dia ingin menunaikan solat sunat,berdoa supaya roh ibunya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman.             
   Usai menunaikan solat tahajud dua rakaat,Hanna duduk berteleku  di atas tikar sembahyang.Bagaikan terbayang-bayang wajah tenang ibunya yang sedang tersenyum manis ke arahnya.Senyuman itu begitu menenangkan jiwanya yang tandus dengan kasih sayang.
   “Ibu,”serunya perlahan.Saat itu  matanya sudah mula berkaca-kaca.Betapa dia rindu untuk menyebut panggilan itu.
   “Hanna rindu sangat pada ibu.Hanna rindu,bu...”rintihnya perlahan.Air matanya sudah mengalir deras.Segala kenangan manis bersama arwah Fatehah terlayar di mindanya.Pelukan dan kucupan hangat ibunya masih terasa,itulah penguat semangatnya tatkala dia hampir berputus asa dalam segala macam perkara.
  ‘Maafkan Hanna,bu.Hanna tak jadik anak yang baik.Hanna janji yang Hanna takkan menangis lagi,tapi Hanna tak penuhi janji tu,maafkan Hanna...Hanna cuma rindukan ibu.’Hatinya berdesis lagi.Hanna membaringkan tubuhnya di atas sejadah.Telekungnya juga belum dibuka.Matanya dipejam,cuba menenangkan rasa sebak yang hadir setiap wajah ibunya datang menyapa.Dunianya semakin gelap dan dia terus terlelap bila rasa mengantuknya masih bersisa.
   “Hanna!Oh Hanna oi!kau nak bunuh aku ke?Boleh pulak kau landing kat tengah-tengah bilik dengan bertelekung macam ni,”Riana bersuara kuat hingga menyebabkan Hanna tersedar dari lena.Terpisat-pisat dia memandang wajah temannya itu.
  “Kenapa?Kau ni pagi-pagi dah membebel macam nenek kebayan,”kata Hanna sambil membuka telekung yang dipakainya.
   “Apa?Kau tanya kenapa?Hei,kau ni nasib baik kau kawan aku,kalau tak dah aku wrestling kau tau.Tidur kat tengah alam dengan pakai macam tu,aku terkejut tau tak.Aku ingat poc...”Riana sengaja tidak menghabiskan ayatnya.Biar Hanna faham sendiri.
   Bukan main terkejut dia pagi ini.Dalam samar cahaya dia terlihat sesuatu berwarna putih bergerak.Hatinya melantun cemas.Ya Tuhan,benarkah apa yang sedang disaksikannya.Benarkah cerita-cerita seram yang sering didengari dari mulut teman-temannya  selama ini?Riana segera beristighfar.Macam-macam ayat  yang keluar dari mulutnya untuk menghilangkan rasa takut.
    Dia bangun perlahan mencari suis lampu.Matanya tidak lepas memerhati,benda berwarna putih itu masih di situ,tidak  berganjak walau sedikit pun.Terketar-ketar jarinya memetik suis.Dan apabila cahaya menerangi seluruh bilik itu spontan mulutnya terjerit.
   “Hanna!!!!”Rupanya Hannalah ‘hantu’ itu.Buat gugur jantungnya sahaja.Segera dihampiri tubuh Hanna yang kaku.Bukan main nyenyak lagi sahabatnya tidur.Huh!Hanna...Hanna...