Wednesday, 29 June 2011

HANNA


Bab 3
   Haji Rahman memandang jauh ke arah ke kebun sayur-sayurannya.Alhamdulillah...segala pujian hanya untuk Allah yang maha Pemurah.Haji Rahman tersenyum.Tidak sia-sia diusahakan tanah seluas tiga ekar itu.Hanya itulah peninggalan arwah ibu dan ayahnya.Baki tanah selebih tiga ekar lagi adalah tanaman getah.Dia memanjat kesyukuran lagi.Pasaran getah sedang meningkat ketika ini,harganya boleh mencecah sehingga enam ringgit sekilogram.Bayangkan seminggu pendapatan hasil menorehnya sekitar hampir dua ribu ringgit,memang berbaloi.
   Hasil kebun sayurnya juga tidak menghampakan.Haji Rahman tahu harga getah tidak pernah kekal,ia boleh turun dan naik mendadak.Oleh kerana itulah dia membuat keputusan untuk menanam sayur-sayuran sebagai pendapatan tambahan.Manalah tahu pada satu saat nanti harga getah jatuh mendadak,dia masih punyai sumber kewangan sampingan untuk menyara keluarga.Satu faktor lagi menoreh bergantung kepada cuaca,jika panas mudahlah urusannya dan jika musim hujan tertutuplah  periuk nasinya.
  Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menyejukkan tubuh Haji Rahman yang terasa berbahang.Cuaca mendung namun teriknya mentari bagaikan memamah kulit.Perit terasa.Haji Rahman mengelap peluhnya yang berjuraian dengan tuala kecilnya yang tersangkut dibahunya.Air sirap limau yang terletak disebelahnya diteguk perlahan.Ah....lega rasanya.
   Minda Haji Rahman menerawang jauh.Banyak sungguh perkara yang bermain dimindanya.Tentang Hanna,apalah khabar anaknya seorang itu.Sihatkah Hanna?Sudah lama dia tidak mendengar suara Hanna,rasa rindunya mula menular.Haji Rahman mengeluh sendiri.Sepinya hidup tanpa anak-anak disisi.Sekelipan mindanya melayang teringatkan arwah isterinya.Jika ditakdirkan Fatehah panjang umur pasti hidupnya tidak akan sekosong ini.Fatehah...dalam diam dia menyeru perlahan sebaris nama yang cukup dirinduinya itu.
    Perihal Farhanah dan juga Razman tidak terlepas dari difikirkannya.Razman!Haji Rahman mengeluh panjang.Entah kenapa  nama Razman turut menyelit di ruang mindanya.Apa berita adiknya yang seorang itu dan di bumi mana Razman bernafas,Haji Rahman tidak pasti.
   Sudah lama Razman merantau membawa diri.Dia hilang tanpa jejak.Kecewa mungkin,gadis yang dipuja dalam diam akhirnya menjadi milik orang.Milik abangnya sendiri,itu yang membuatkan Razman berasa jauh hati apatah lagi ketika itu dia baru mengetahui hakikat sebenar yang dia hanyalah seorang anak angkat.Keluarga yang begitu menyayanginya bukanlah darah dagingnya yang sebenar.  
   Haji Rahman termenung lagi mengimbau masa lalu,memori antara dia,arwah Fatehah dan juga Razman.Segala-galanya bagaikan baru semalam terjadi.Dia tidak tahu langsung  adiknya,Razman menaruh hati terhadap Fatehah.Memang sukar untuk memahami jiwa Razman lantaran sikapnya yang pendiam dan suka memencilkan diri.
   Haji Rahman pula tidak tahu menahu langsung mengenai lamaran yang dibuat kedua ibu bapanya dibelakangnya.Tahu-tahu dia disuruh datang ketika upacara pertunangan berlangsung.Pertama kali bersua muka dengan Fatehah hati lelakinya terus terpaut.Keayuan,kesantunan merupakan pakej lengkap sebagai seorang wanita Melayu sejati,dan Fatehah memiliki kesemuanya yang membuatkan hati lelakinya tertambat.Tapi seandainya dia tahu isi hati Razman,awal-awal lagi dia bersedia mengundurkan diri memberi laluan kepadanya adiknya itu.Fatehah...ah,rindunya abang pada awak.
   “Ayah!”Suara itu mematahkan lamunan Haji Rahman.Dia segera menoleh.Farhanah menghampiri ayahnya dengan nafas yang tercungap-cungap.Basikal buruknya disorong dan diletakkan di bawah pohon ketapang berhampiran pondok berehat Haji Rahman.
   Haji Rahman tersenyum memandang Farhanah.Kasihan anaknya itu,memikul tanggungjawab besar sebelum waktunya.Usianya baru mencecah 14 tahun,namun Haji Rahman kagum dengan Farhanah.Anak bongsunya cekap menguruskan kerja rumah.Mengemas,memasak...semuanya sudah menjadi kepakaran Farhanah.Pendek kata,Haji Rahman tidak perlu risau mengenai urusan di rumah,semuanya ditanggung beres.
   “Ayah,adik minta maaf.Lewat pulak hari ni,tak perasan kelas adik habis lambat.Cikgu Rosman tu banyak celotehnya dari mengajar,” adu Farhanah sambil tangannya ligat membuka penutup bekalan yang dibawa.Farhanah memang sudah lama geram dengan guru Bahasa Inggerisnya itu,sepatutnya kelasnya habis pada pukul 11.30,tapi terpaksa pula dia mendengar cerita tentang anak dan isteri Cikgu Rosman.Tentang anaknya yang gila berfacebook dan isterinya yang kuat merajuk.Masuk akalkah cerita seperti itu diselitkan dalam pembelajaran Bahasa Inggeris?Huh!tak berkaitan langsung.
     Haji Rahman menggeleng perlahan.Tidak senang dengan bicara anaknya mengenai gurunya itu.
    “Tak baik adik cakap macam tu.Diakan cikgu adik,dah banyak ilmu yang dia ajar pada adik,’Haji Rahman menegur lembut.Dia tidak mahu Farhanah terus memburuk-burukkan gurunya.
   “Memanglah ayah,tu adik tahu.Tapi cikgu Rosman tu memang macam tu.Suka sangat menjaja cerita peribadi dia,mengajar sekejap lepas tu dia melalut tak sudah.Kadang-kadang adik rasa dia macam buka keaiban sendiri,”rungut Farhanah lagi.Bukan niatnya untuk mereka cerita tetapi memang itu hakikat yang sebenarnya.
   Haji Rahman tersenyum lagi memandang anak gadis suntinya itu.Dia tahu Farhanah anak yang jujur,namun dia tidak mahu sifat jujur Farhanah menyebabkan Farhanah terbiasa memperkatakan sesuatu tentang orang lain.    
  “Adik..adik...walau buruk macam mana sekalipun dia tetap guru adik.Ingat,dia banyak mengajar adik.Adik jangan lupa tu.Lagi satu,walaupun sikapnya begitu biarkanlah...adik kena belajar hormatkan dia.Kalau tak,sia-sia adik belajar,tak berkat,”tulus nasihat seorang ayah.Wajah Farhanah diusap perlahan.
   Farhanah terdiam.Ada benarnya kata-kata ayahnya itu.Ustazah Huda juga pernah memperkatakan hal yang sama.Betapa pentingnya keberkatan dalam belajar dan betapa perlunya restu seorang gurunya terhadap anak didiknya dalam menuntut ilmu.Farhanah jadi takut sendiri,takut jika ilmu yang ilmu yang diajar gurunya tidak dihalalkan.Pasti susah kehidupannya nanti.
   “Okey,adik janji tak cakap macam tu pasal Cikgu Rosman lagi.Ayah makanlah lebih sikit...kenapa?Adik masak tak sedap ke hari ni?”ujar Farhanah.Dia tidak mahu memanjangkan topik itu,tentang Cikgu Rosman...biarkanlah...
  Farhanah menyendukkan lagi nasi ke pinggan Haji Rahman.Risau pula dia melihat nasi yang sedikit dipinggan ayahnya.Selalunya Haji Rahman makannya tidak pernah tidak bertambah.Tak sedap ke?Farhanah merasa kuah lemak cili padi ikan keli yang dimasaknya.Hmmm...ok je.Cukup rasa semuanya.
   “Sedaplah adik masak ni,ayah cuma tak ada selera aje.Mungkin masih  kenyang sarapan roti canai tadi,”Haji Rahman segera membasuh tangannya.Azan Zuhur sudah berkumandang dari surau yang terletak di hadapan kebunnya.Dia harus segera pulang,kewajipan pada Yang Esa perlu ditunaikan secepatnya.
   “Ayah,adik lupa nak cakap,tadi Along telefon.Dia kirim salam pada ayah.Dia kata bulan depan dia balik,”Farhanah manyampai pesan.Dia juga ikut berkemas ingin pulang.Petang nanti pasti Haji Rahman akan mengajaknya turun ke kebun semula.

                                                                          #        #        #
    Dia tersenyum seorang diri.Makan tersenyum,mandi tersenyum dan paling mengerikan nak melelapkan matapun,bibirnya masih tetap mengukir senyum.Gelagatnya menyebabkan orang-orang di sekelilingnya berasa rimas.Gila agaknya...Mungkin itu persoalan yang bermain di benak mereka.
   “Woi,kau ni gila ke?Sengih sini,sengih sana.Aku rasa kerang busuk pun lagi cantik dari kau punya gigi tau,”marah Hilman sambil mencampakkan bantal ke  arah Irfan.Tension pula dia dibuatnya.Mana tidaknya,semenjak semalam kawannya berkelakuan seperti orang gila.Tersenyum seorang diri,bila ditanya Irfan senyap.Namun senyumnya masih tidak lekang dibibir.Terkena penyakit angau agaknya temannya yang seorang ini.
   “Irfan Muzakkir,aku bagi amaran kat kau.Lagi sekali aku tanya kau jawab dengan sengih,kau tahulah apa akibatnya,”sambung Hilman lagi.Dia sudah berganjak dari katil ke meja study.Tertekan melihat Irfan yang macam tak sempurna akalnya.Lantaklah kau...
   “Tak ada apalah Man.Kau ni bab-bab menyemak hal  orang,memang nombor satu.Suka hati akulahkan,nak senyum ke nak menangis ke...”Irfan membidas semula.Dia duduk dibirai katil.memerhati Hilman yang bagai lipas kudung menyiapkan homework.Hmm...itulah padahnya buat kerja last minute,Irfan sudah masak sangat dengan perangai Hilman.Lima tahun berada di sekolah ini dan berkongsi bilik yang sama membuatkan dia sudah mengenali setiap karakter rakan sebiliknya dengan baik.
   “Ah,sudahlah kau.Takkanlah dah kritikal macam ni pun,kau nak sorok dari aku.Cepatlah cerita...siapa budak tu?”Soal Hilman selamba.Dia masih sibuk menulis dan wajah Irfan tidak dipandang langsung.Sibuk benar lagaknya.
   “Eh,kau memandai aje.Budak mana pulak ni?”Irfan masih mahu berdalih.Dia tahu maksud sebenar Hilman.Sengaja dia berpura-pura tidak mengerti soalan Hilman.
   “Kau tak usahlah nak bohong aku,Fan.Aku kenal siapa kau.Kalau dah lelaki senyum sendiri,tu apa maknanya lagi?Aku bukan budak tadika,ya.Kejap,biar aku teka...kau dengan...”
   “Dengan siapa?”Irfan pantas memintas.Bimbang juga rahsia hatinya terbongkar.Terbongkar dengan Hilman pulak tu,habis dicanang satu sekolah nanti.
   “Siapa lagi?Lily Nazeera,kan?Bukan main rapat lagi kau dengan minah tu.Tapi berutunglah kau...cun tu,”Hilman memainkan riak muka nakal.Dia tersenyum penuh makna.Buku sekolah ditutup.Terasa menarik pula kisah Irfan kali ini.Bertuahlah punya wajah kacak,berderet perempuan cantik menanti.
   Fuh!!!Nasib baik.Salah tekaan kau,Man.Irfan tergelak sendiri.Ketawanya meletus perlahan bila tekaan Hilman meleset sama sekali.Gelaknya itu mencetuskan maksud yang berbeza pada Hilman.Hilman tersengih.
   “Haa...tu dah gelak tu.Betullah,kan?Sudahlah kau,Fan.Memang tak boleh kau nak berahsia dari aku,”katanya lagi.
   Irfan menggeleng-gelengkan kepalanya.Terasa lawak pula kata-kata Hilman pada pendengarannya.Lily?Tolonglah...gadis itu diakui memang cantik,namun kecantikan Lily Nazeera tidak sedikit pun memikat hatinya.Ada gadis lain yang lebih menambat jiwa lelakinya.Hanna Darwisyah!Secara tidak langsung bibirnya mengukir senyuman.
   Dia masih ingat detik itu.Dua hari lepas,ketika di gelanggang basketball.Dia terpaku melihat pandangan mata redup itu.Hanna...hatinya berlagu riang bila menyebut nama gadis manis itu.Adakah Hanna juga seperti aku?Menyimpan perasaan dalam diam.Ah,perasannya...Tidak mungkin.Tidak mungkin Hanna berperasaan sepertinya,tingkah Hanna tidak menunjukkan mereka berkongsi rasa.
   Diimbas kembali masa-masa lalu.Hanna tidak pernah menunjukkan tanda-tanda suka kepadanya.Berbeza dengan Lily Nazeera,gadis itu terang-terangan mengaku menyukai dirinya.Hanna lebih pendiam dan berlagak selamba setiap kali mereka bertembung di mana-mana.
   Hai...Hanna...Hanna...Irfan senyum lagi.Entah kenapa nama Hanna membawa kegembiraan dalam dirinya.Biarlah rasa hatinya disimpan sendiri.Dia tidak mahu sesiapa menghidu perasaannya terhadap gadis bernama Hanna.
   “Hai kot iya pun ingat awek,tak payahlah sampai mereng macam ni.Dah,daripada kau ingat si Lily yang melalaikan tu,jom ikut aku ke surau.Solat isya’berjemaah,lagi untung,”Hilman pantas mendorong Irfan bangun dari katil.Tubuh temannya itu ditolak hingga ke muka pintu bilik.Parah keadaan Irfan ni...Hilman menggumam sendiri.

1 comment:

  1. skali imbas je bce....ad plak nme yg xbpe akak ske tp ok je....t akak bce btol2 bwu komen eyh....dun woli,hehe

    ReplyDelete